Tiga puluh haribulan April tahun 2004, siang selesai Fardhu Jumaat.
Hati aku girang sebaik mendapat tandatangan warden yang membenarkan aku untuk pulang bermalam ke rumah. Dan begitu juga hati ku berbunga bunga untuk bertemu Salina buat ke sekian kali nya selepas lama tidak berhubung. Sengaja kali ini aku tidak menelefonnya dahulu. Mungkin sekali sekala buat kejutan, Salina akan lebih sayang padaku. Mungkin sekali sekala dengan buat kejutan, Salina tidak akan mudah bosan padaku.
Tiga puluh haribulan April tahun 2004, sebelum tengah malam.
Aku menapakkan kaki ke rumah Datu Hairul yang tidak jauh dari rumahku. Hanya dua lorong ke hadapan taman perumahan itu. Salam.
"Hairul kejap lagi sampai rumah, dia angkat barang dari gerai," Ujar adik Datu Hairul yang ketika itu berpakaian ala punk menyambut kedatangan ku. "Duduk dulu, sekejap lagi sampai la dia."
Aku sengih separuh dan mengangguk, lalu duduk merapati sepupu Datu Hairul, Fezal yang sedang sibuk menala gitar kekabu yang agak usang bagiku. Fezal yang begitu kukenali menyuruh aku memainkan sebuah lagu sambil mengajukan gitar yang telah siap ditalanya. Aku hanya mengangkat tangan menyata tidak, mungkin malam itu bukan niatku untuk menyampaikan sebuah lagu. Fezal tidak kecewa, langsung terus memetik lagu Cromok, Another You.
Datu Hairul tiba di depan pintu dengan menjinjing di kedua belah tangan nya beg-beg plastik besar yang agak berat berisi peralatan dari gerai keluarganya. Satu perkara yang membuatkan aku hormat padanya kerana sifat rajinnya membantu keluarga. Dari susuk tubuh sasa berurat hasil dari kerja kerasnya aku melihat kesungguhan setelah dia dan asiknya ditinggalkan ibu bapanya dan dibesarkan oleh keluarga makciknya. Seraya seperti tahu kehadiranku dan seakan akan menjerit, "Aqram! Wats up man? Ko tau apa cerita terbaru tentang Salina??" sambil terus berlalu masuk ke bahagian dalam rumah membiarkan aku dirundung dengan pertanyaan.
Selantas itu pemikiran aku mula jauh liar memikirkan apa cerita terbaru yang dimaksudkan Datu Hairul. Belum pernah selama aku duduk melepak bersamanya, Datu Hairul membuka cerita tentang Salina, melainkan aku lah yang mula mula sibuk bertanya. Mungkinkah Salina menjuarai Pesta Bahas? Mungkinkah Salina memenangi pertandingan ratu cantik Hari Kaamatan? Mungkinkah Salina mendapat tempat pertama peperiksaan awal tahun?
Datu Hairul keluar dari dapur membawakan setin Cola dan semangkuk Karipap Pusing, saki baki dari jualan gerai keluarganya. Aku bertanya, "So, apa cerita baru?"
Datu Hairul menarik nafas panjang sambil menyalakan rokok.
Satu haribulan Mei tahun 2004, selepas tengah malam.
Aku meneguk Cola yang Datu Hairul hidangkan. Karipap Pusing tidak kusentuh biar nampak menyelerakan dengan lelehan kari dari ruang berlubang pada karipap tersebut.
"Salina sudah kahwin." Ringkas, tepat, padat, langsung, terus terang, dan tanpa selindung ayat dari bibir Datu Hairul yang dari tadi kuperhati dan kutunggu.
Tidak bernafas buat seketika.
Pandangan aku tertumpu tepat pada muka Datu Hairul. Perlahan lahan menjadi kabur. Di hadapan mataku seperti ada satu kilatan paling terang sehingga aku tidak dapat melawan. Kedua belah kelopak mata tertutup. Pendengaran aku seolah seolah guruh mengguntur yang teramat hebat dan kuat yang mungkin membuat kan anak anak kecil menangis maha ketakutan. Aku merasa seperti keseimbangan jasad hilang seketika.
Datu Hairul mengetuk pergelangan lengan ku dan menghulurkan sebatang rokok padaku.
Kembali ke dunia nyata.
"Salina terlanjur, mengandung, perut membuncit, escape sekolah dan kahwin beberapa hari lepas." Sedikit penjelasan dari Datu Hairul sambil menghembus kepulan asap dari dalam dadanya.
Salina tidak langsung menjuarai Pesta Bahas. Salina tidak langsung memenangi pertandingan ratu cantik sempena Hari Kaamatan. Salina tidak juga langsung mendapat tempat pertama peperiksaan awal tahun. Salina telah pergi dari hidup ini.
Satu haribulan Mei tahun 2004, siang Sabtu yang cerah.
Cerita tentang Salina berakhir di sini. Sesungguhnya mulai hari ini, aku sudah bisa mula keluar dengan wanita lain. Dan aku tidak perlu lagi girang menanti saat pulang bermalam di hujung minggu setiap awal bulan.